MANGSA yang cedera di bahagian kiri perut dibantu kakitangan pasar raya itu sebelum dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
MANGSA yang cedera di bahagian kiri perut dibantu kakitangan pasar raya itu sebelum dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Omar Osman


PENGAWAL keselamatan sebuah pasar raya di Bakar Arang, Sungai Petani cedera di bahagian kiri perut selepas ditikam lelaki dipercayai mencuri barangan di premis itu, malam ini.

Dalam kejadian pada 7.40 malam itu, mangsa berusia 40-an yang sedang bertugas menyedari perbuatan suspek selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bilik pengawal keselamatan.

Sumber berkata, pengawal keselamatan terbabit kemudian masuk ke dalam pasar raya bagi menahan suspek, namun lelaki itu melarikan diri sebaik menyedari kehadiran mangsa.

“Mangsa bertindak mengejar suspek dan berlaku pergelutan sebelum dia ditikam dengan senjata tajam di bahagian kiri perutnya.

“Suspek berjaya melarikan diri, sementara mangsa yang cedera dibantu kakitangan pasar raya itu sebelum dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dengan ambulans untuk menerima rawatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid mengesahkan kejadian, berkata mangsa ditikam ketika cuba menahan suspek yang mencuri barangan di pasar raya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 10:41 PM