MURID SK Kampung Kuantan bernasib baik tidak dipatuk ular tiung.
MURID SK Kampung Kuantan bernasib baik tidak dipatuk ular tiung.
HM Digital

Hulu Selangor: Seorang murid lelaki tahun satu tidak menyangka objek sejuk dan lembik yang disentuh dari dalam laci di bawah mejanya adalah ular tiung.

Difahamkan, kejadian berlaku di Sekolah Kebangsaan Kampung Kuantan, Batang Kali, ketika murid berusia tujuh tahun itu ingin menyimpan buku di dalam laci berkenaan.

Sepasukan anggota bomba yang tiba selepas mendapat panggilan kecemasan berhubung kejadian berjaya menangkap reptilia berkenaan dan menyifatkan murid terbabit bertuah kerana tidak dipatuk.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu, Kamil Hamadan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.53 pagi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 20 minit kemudian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota mendapati seekor ular tiung berwarna hitam sepanjang satu meter berada di dalam laci meja. Anggota bomba menangkap ular itu menggunakan penjerut dan dilepaskan di tempat selamat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, ular tiung adalah sejenis reptilia berbisa, namun tidak menyebabkan kematian.

“Ia hanya meninggalkan bengkak (jika dipatuk) dan tidak berbahaya, kami mengambil masa kira-kira satu jam sebelum ia berjaya ditangkap,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 11:31 AM