ULAR sawa yang ditangkap selepas menyerang  pekerja asing di ladang sawit di Labis.
ULAR sawa yang ditangkap selepas menyerang pekerja asing di ladang sawit di Labis.
Ahmad Ismail


Segamat: Seorang lelaki pekerja asing warga Bangladesh terselamat daripada dibelit ular sawa sepanjang lima meter selepas tidak sengaja terpijak reptilia itu di sebuah ladang sawit di Labis di sini, kelmarin.

Mangsa yang berusia 30-an itu bagaimanapun cedera di buku lali kanan akibat digigit ular sawa seberat 60 kilogram (kg) dalam kejadian jam 3.30 petang.

Ketua Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Segamat Staf Muda Pertahanan Awam (PA) Mohd Nazlan Ruslan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pengurusan ladang itu pada jam 4 petang yang memaklumkan seorang pekerjanya dipatuk ular.

“Setibanya di empat kejadian, mangsa dihantar ke sebuah klinik berdekatan untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar dan keadaannya tidak membimbangkan sebelum dibenarkan pulang,” katanya.

Mohd Nazlan berkata, mangsa dipercayai merayau di sekitar ladang sawit itu dan secara tidak sengaja terpijak badan ular sawa berkenaan menyebabkan dia dipatuk.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2016 @ 8:10 AM