Muhaamad Hafis Nawawi


LELAKI ditahan polis malam tadi bagi membantu siasatan lelaki yang ditemui mati berlumuran darah dengan kesan tikaman dalam kereta di Taman Bandar Baru, Sungai Petani, Kedah, 29 Disember lalu.

Lelaki berusia 33 tahun itu ditahan ketika menyerah diri di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda jam 10.30 malam.

Siasatan mendapati lelaki berasal dari Bedong di sini tidak memiliki rekod jenayah lampau dan setakat ini enam orang sudah ditahan bagi membantu siasatan termasuk anak serta abang ipar tiri mangsa.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan penahanan suspek bagi membantu siasatan.

Menurutnya, suspek direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

NSTP Selasa lalu melaporkan lelaki yang ditemui mati berlumuran darah dengan kesan tikaman dalam kereta di Taman Bandar Baru, Sungai Petani, Sabtu lalu, dipercayai berhutang lebih RM80,000 dengan beberapa individu termasuk suspek utama pembunuhan itu.

Siasatan awal mendapati mangsa berusia 41 tahun itu difahamkan berhutang dengan beberapa orang termasuk abang ipar tirinya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 12:55 PM