ANGGOTA polis mengiringi tertuduh (kanan) di Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini. Foto MUHAMMAD MUSTAKIM RAMLI
ANGGOTA polis mengiringi tertuduh (kanan) di Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini. Foto MUHAMMAD MUSTAKIM RAMLI
Muhammad Mustakim Ramli


SEORANG kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di Taman Bandar Baru, Sungai Lalang, bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, T Suresh, 40, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arif Mohamad Shariff.

Tertuduh dilihat menganggukkan kepala tanda faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh A Muniandy, 41, di Jalan Jati 25A, Taman Bandar Baru, Sungai Lalang cdi Sungai Petani antara jam 10 malam 28 Disember hingga jam 4.15 pagi 29 Disember lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nordiyanasari Omar, manakala tertuduh diwakili peguam RSN Rayer.

Majistret menetapkan 12 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan laporan kimia serta dokumen berkaitan.

NSTP sebelum ini melaporkan seorang lelaki ditemui mati berlumuran darah dengan kesan tikaman di dalam kereta Nissan Grand Livina berwarna putih yang berhenti di bahu jalan, pada jam 4 pagi, 29 Disember lalu.

Difahamkan, mangsa yang yang bekerja di Singapura pulang ke Sungai Petani untuk membuat persiapan persekolahan lima anaknya sebelum sesi persekolahan bermula 1 Januari lalu.

Siasatan polis mendapati terdapat 10 kesan tikaman di leher, pipi kanan, tangan kiri dan tangan kanan mangsa.

Soal siasat dengan isteri mangsa mendapati lelaki berkenaan menghadapi masalah kewangan yang teruk dan menanggung beban hutang banyak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 12:19 PM