GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


LELAKI yang ditemui mati berlumuran darah dengan kesan tikaman dalam kereta di Taman Bandar Baru, Sungai Petani, kelmarin, dipercayai berhutang dengan beberapa individu termasuk suspek utama pembunuhan, lebih RM80,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 41 tahun itu difahamkan berhutang dengan beberapa orang termasuk abang ipar tirinya.

Menurutnya, penahanan suspek berusia 39 tahun dalam tempoh tidak sampai 24 jam membolehkan kes itu berjaya diselesaikan.

“Siasatan awal kita percaya pembunuhan lebih kepada tidak puas hati berkaitan hutang.

“Suspek kini direman lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

NSTP semalam melaporkan, tidak sampai 24 jam, tiga lelaki termasuk abang ipar tiri kes seorang lelaki ditemui mati berlumuran darah dengan kesan tikaman dalam kereta di Taman Bandar Baru, ditahan polis.

Mangsa, A Muniady, 41, ditemui orang awam di dalam kereta Nissan Grand Livina berwarna putih yang berhenti di bahu jalan, pada 4 pagi.

Difahamkan, mangsa yang yang bekerja di Singapura baru pulang ke Sungai Petani beberapa hari yang lalu untuk membuat persiapan persekolahan lima orang anaknya sebelum sesi persekolahan bermula 1 Januari ini.

Siasatan polis mendapati ada 10 kesan tikaman di leher, pipi kanan, tangan kiri dan tangan kanan mangsa.

Berita berkaitan

Dibunuh angkara hutang?

[UPDATE] Tiga termasuk abang tiri ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 4:30 PM