Pasukan forensik menjalankan siasatan di lokasi mayat ditemui. FOTO Omar Osman
Pasukan forensik menjalankan siasatan di lokasi mayat ditemui. FOTO Omar Osman
Omar Osman


LELAKI ditemui mati dengan kesan tikaman di dada kiri di lorong belakang Taman Arked, Sungai Petani, hari ini.

Liu Chee Wei, 25, ditemui berlumuran darah oleh penduduk selepas mendengar suara orang mengerang kesakitan di lorong belakang taman itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu 3 petang daripada orang awam dan terus ke lokasi kejadian.

Menurutnya, setakat ini, siasatan masih dijalankan dan suspek meninggal dunia selepas ditikam di bahagian dada.

"Mangsa yang berasal dari Nibong Tebal, Pulau Pinang turut mengalami kecederaan di tangan kanan dan pipi sebelah kiri dipercayai berlaku pergelutan dengan suspek.

"Sebuah Perodua Axia yang terbakar juga ditemui dalam semak tidak jauh dari lokasi mayat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Saifi berkata, motif pembunuhan masih dalam siasatan dan menolak kejadian bermotifkan samun kerana barangan kemas seperti cincin, subang dan jam tangan masih ada padanya.

"Siasatan juga mendapati kereta itu adalah milik rakannya dan sedang menyiasat latar belakang mangsa termasuk pekerjaannya.

"Kemungkinan suspek membawa lari kereta itu ke kawasan semak terbabit sebelum dibakar," katanya.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 6:53 PM