GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Mustakim Ramli


TIDAK sampai 24 jam, tiga lelaki termasuk abang tiri seorang lelaki yang ditemui mati berlumuran darah dengan kesan tikaman dalam kereta di Taman Bandar Baru, Sungai Petani, semalam, ditahan polis malam tadi dan awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, abang tiri suspek berusia 39 tahun itu ditahan pada 8.30 malam.

“Kita menahan abang tiri mangsa di tepi jalan di Bandar Baru Bedong bersama seorang lagi suspek berusia 44 tahun.

“Suspek ketiga berusia 28 tahun pula ditahan pada 3 pagi tadi selepas dia menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda,” katanya ketika dihubungi, pagi ini.

Mior Faridalathrash berkata, ketiga-tiga suspek mengaku melakukan jenayah terbabit dan motif kejadian dipercayai tidak berpuas hati kerana masalah hutang.

NSTP semalam melaporkan mangsa, A Muniady, 41, ditemui orang awam di dalam kereta Nissan Grand Livina berwarna putih di bahu jalan pada 4 pagi.

Difahamkan, mangsa yang yang bekerja di Singapura baharu pulang ke Sungai Petani beberapa hari lalu, untuk membuat persiapan persekolahan lima anaknya sebelum sesi persekolahan bermula 1 Januari ini.

Siasatan polis mendapati terdapat 10 kesan tikaman pada bahagian leher, pipi kanan, tangan kiri dan tangan kanan mangsa.

Soal siasat dengan isteri mangsa mendapati lelaki berkenaan menghadapi masalah kewangan yang teruk dan menanggung beban hutang banyak.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

Dibunuh angkara hutang?

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 10:11 AM