Paya Linda Yahya


Gua Musang: Lebih 1,000 penduduk Orang Asli suku Temiar Pos Gob berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pembukaan kelas Projek Kelas Khas (Prokhas) di kawasan itu.

Penduduk mendakwa, mereka terpaksa menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis yang jaraknya kira-kira 90 kilometer dari kawasan berkenaan.

Penghulu Kampung Gob, Pos Gob Liman Alang berkata, faktor jarak juga menyebabkan ramai kanak-kanak di pos berkenaan tercicir dalam pelajaran.

"Faktor jarak menjadi faktor utama kami tidak dapat menghantar anak ke sekolah kerana bimbangkan keselamatan mereka yang masih kecil.

"Dalam kejadian terbaru pada Khamis minggu lalu, pacuan empat roda yang membawa murid dan pelajar untuk pulang ke Pos Gob terbabas.

"Syukur, seorang murid dan empat pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panggong Jaya selamat selepas mereka sempat terjun daripada pacuan empat roda itu," katanya ditemui di Pos Gob.

Liman berkata, keadaan jalan yang rosak dan licin terutama pada musim hujan menambahkan kebimbangan ibu bapa untuk membenarkan anak ke sekolah.

"Jadi kami berharap supaya kerajaan dapat bina kelas khas kepada anak-anak Orang Asli di sini sebelum mereka bersedia untuk masuk ke sekolah rendah.

"Bayangkan seawal tujuh tahun, anak-anak sudah tinggal di asrama tanpa tahu cara menguruskan diri yang betul," katanya.

Bagi guru Orang Asli yang mengajar anak Orang Asli di Pusat Pendidikan Komuniti Pos Gob, Malina Jasmin, 35, kelas khas itu perlu diwujudkan bagi memastikan anak Orang Asli tidak keciciran.

"Ibu bapa Orang Asli tidak mahu menghantar anak mereka yang masih kecil ke SK Kuala Betis kerana jaraknya yang jauh dari Pos Gob, selain risiko kemungkinan anak-anak akan tidur dalam hutan, andainya jalan dan kenderaan yang membawa mereka rosak dalam perjalanan.

"Sekurang-kurangnya, jika ada kelas Prokhas, murid akan lebih bersedia sebelum melangkah ke alam persekolahan sebenar.

"Saya difahamkan, kelas Prokhas yang diadakan selama tiga hari seminggu itu akan memberi pembelajaran dan pengurusan diri kepada kanak-kanak berusia tujuh hingga sembilan tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 12:02 PM