LOKASI kejadian. FOTO Ihsan Polis
LOKASI kejadian. FOTO Ihsan Polis
Ifwan Tun Tuah


KANAK-KANAK lelaki dua tahun ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam kolam pancing di sebelah rumahnya di FELDA Jelai di Gemas, Tampin, hari ini.

Pada kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa ditemui oleh ibunya, dalam keadaan terapung di kolam berkenaan.

Kanak-kanak itu kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan FELDA Jelai, namun doktor di situ mengesahkan dia sudah meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa berkata, sebelum kejadian, mangsa bermain bersama kembar perempuannya serta tiga lagi adik- beradik di depan rumah.

Beliau berkata, mereka bermain di kawasan berhampiran kolam pancing yang diusahakan bapa mereka.

“Ibu mereka kemudian menyuruh anaknya masuk ke dalam rumah sebelum wanita itu ke bilik air untuk memandikan salah seorang anaknya.

“Sebaik keluar dari bilik air, dia menyedari mangsa tiada di dalam rumah. Dia segera keluar untuk mencari anaknya sebelum melihat mangsa terapung dalam kolam berkenaan,” katanya, hari ini.

Ramli berkata, wanita itu segera meminta bantuan suaminya dan mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan FELDA Jelai untuk rawatan kecemasan

Bagaimanapun katanya, doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia.

“Pemeriksaan awal mendapati tiada kesan lebam atau kecederaan pada tubuh mangsa dan mayatnya dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, polis turut menemui selipar serta sebiji bola di dalam kolam itu yang dipercayai digunakan mangsa untuk bermain sebelum kejadian berkenaan.

“Ketika kejadian berlaku tiada pengunjung di kawasan kolam itu kerana biasanya pemancing hanya datang ke situ pada waktu petang hingga lewat malam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Disember 2018 @ 7:22 PM