Anggota penguat kuasa melakukan pemeriksaan terhadap premis dan pengunjung pusat hiburan di sekitar Kuala Lumpur dalam operasi itu. FOTO Ihsan DBKL
Anggota penguat kuasa melakukan pemeriksaan terhadap premis dan pengunjung pusat hiburan di sekitar Kuala Lumpur dalam operasi itu. FOTO Ihsan DBKL
Nurul Hidayah Bahaudin


PUSAT pusat hiburan yang dijadikan sebagai ‘port’ untuk sambung berhibur dari awal pagi hingga tengah hari diserbu pihak berkuasa dalam Operasi Bersepadu Pusat Hiburan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama agensi penguat kuasa lain, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Penguat Kuasa DBKL Azman Mahmood berkata, pihaknya membuat pemeriksaan terhadap tujuh pusat hiburan di sekitar ibu kota dalam operasi berkenaan yang turut disertai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI).

“Hasil pemeriksaan dilakukan kami mendapati sebuah pusat hiburan di Jalan Peel yang sudah tamat tempoh lesen sejak Julai lalu dan didapati beroperasi lebih masa. Malah, difahamkan premis itu juga beroperasi bermula jam 7 petang hingga 12 tengah hari setiap hari.

“Waktu operasi premis itu menjadikan ia sebagai ‘port’ bagi mereka yang mahu sambung berhibur hingga ke tengah hari walaupun pusat hiburan berkenaan sepatutnya ditutup pada jam 3 pagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azman berkata, pihaknya menyita barangan dan menutup premis itu kerana kesalahan beroperasi tanpa lesen mengikut Seksyen 4 (1) (a), Seksyen 4 (1) (b) dan Seksyen 17 Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992.

“Selain itu, kami turut mengeluarkan tiga notis kepada tiga premis lain yang didapati beroperasi lebih masa.

“Pihak kastam turut merampas pelbagai jenis minuman keras di tujuh premis yang diperiksa selepas didapati melakukan kesalahan menjual minuman keras luar waktu jualan dibenarkan dan menjualnya tanpa lesen,” katanya.

Beliau berkata, dalam operasi itu juga, pihak AADK melakukan saringan awal air kencing terhadap 42 pengunjung di dua pusat hiburan masing-masing di Jalan Imbi dan Jalan Peel dengan dua daripada mereka didapati positif dadah.

“Pada masa sama, pihak JAWI turut mengeluarkan Notis Perintah Hadir Kaunseling (Seksyen 43 Akta 559) terhadap 30 pengunjung beragama Islam di dua premis hiburan di Jalan Imbi.

“Operasi bersepadu seumpama ini akan dilakukan secara konsisten bagi memastikan tiada pusat hiburan di ibu kota ini melanggar syarat ditetapkan pihak berkuasa dan sekiranya mereka berdegil, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan diambil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Disember 2018 @ 1:45 PM