Hasbi Sidek


SERAMAI 31 individu beragama Islam ditahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) selepas didapati mengambil minuman keras dalam pemeriksaan Ops Bah Siri 47 di dua pusat hiburan di ibu kota, hari ini.

Operasi bermula jam 1 pagi di sebuah pusat hiburan di Jalan Sungai Besi, sebelum sebuah premis lain di Jalan Sultan Ismail diserbu jam 7 pagi.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Azman Mahmood yang mengetuai operasi itu berkata, seramai enam warga asing turut ditahan dalam serbuan itu.

“Kami menyerbu dua pusat hiburan dengan kekuatan seramai 379 kakitangan membabitkan polis, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Hasil serbuan di kedua -dua lokasi, JIM menahan enam warga asing yang didapati melanggar Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, katanya ketika ditemui sejurus operasi tamat.

Katanya, JAWI pula memeriksa 56 individu sebelum 11 wanita dan 20 lelaki ditahan mengikut Seksyen 19 Akta 559 Jenayah Syariah manakala 25 individu diberi notis perintah hadir di bawah Seksyen 43 Akta 559 Jenayah Syariah.

“Pihak SSM mengesan premis kedua melakukan kesalahan mengikut Seksyen 30(1)(b) Akta Syarikat 2016 kerana gagal mempamerkan nama dan nombor syarikat seperti yang didaftarkan di premis perniagaan.

“Di lokasi pertama pihak AADK menyaring 34 indivdiu dan 16 daripadanya positif dadah jenis ekstasi dan methaphetamine manakala di lokasi kedua seramai 30 individu disaring secara rawak, namun tiada tangkapan dibuat.

“Bagi pihak DBKL sendiri, kami menyita kedua-dua premis itu dan menyerahkan notis penutupan kerana tidak mempunyai lesen,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 5:10 PM
Caption<ANTARA warga asing yang ditahan dalam Operasi Basmi  Aktiviti Haram (Ops BAH) di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Rosdan Wahid
Caption<ANTARA warga asing yang ditahan dalam Operasi Basmi Aktiviti Haram (Ops BAH) di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Rosdan Wahid