PUSAT hiburan yang terletak di Kampung Pandan disita selepas dikesan beroperasi taman lesen.
PUSAT hiburan yang terletak di Kampung Pandan disita selepas dikesan beroperasi taman lesen.
Safeek Affendy Razali


SEBUAH pusat hiburan elit dan mewah di Jalan Kampung Pandan, Kuala Lumpur diserbu selepas dikesan beroperasi secara haram sejak lapan bulan lalu.

Operasi Bersepadu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kuala Lumpur, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bermula jam 12.05 tengah malam, hari ini.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan Premis DBKL Ahmad Tarmizi Baharom berkata, premis itu sebelum ini pernah diberi notis pembatalan lesen pada Januari lalu, namun pemiliknya masih meneruskan aktiviti hiburan ketika sedang membuat rayuan bagi menarik balik arahan pembatalan lesen..

“Pihak kami terpaksa menyita premis berkenaan dan mengeluarkan arahan tutup selepas pemiliknya berdegil meneruskan kegiatan hiburan mereka.

“Selain menyita premis itu, JIM turut menahan dua lelaki dan dua wanita warga China selepas didapati tiada dokumen perjalanan sah manakala JKDM pula merampas 18 karton minuman keras pelbagai jenama,” katanya selepas operasi berkenaan tamat.

Menurutnya, pihaknya akan menjalankan pemantauan ke atas pusat hiburan sama sekiranya pemilik premis itu kembali menjalankan aktivitinya.

Katanya, DBKL turut menampal notis larangan di pintu masuk utama premis itu.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan ke atas dua pusat karaoke (KTV) di Jalan Imbi, Kuala Lumpur, seramai 13 pelayan pelanggan atau GRO serta lima pelanggan lelaki ditahan oleh JAWI selepas dikesan meminum minuman keras.

Dalam serbuan itu, sebahagian besar pelanggan dan pekerja cuba melarikan diri dengan menggunakan pelbagai pintu dan laluan kecemasan.

Bagaimanapun, 18 individu terbabit berjaya ditahan dan pemeriksaan mendapati mereka meminum minuman keras selepas disaring menggunakan alat pengesanan alkohol oleh pihak JAWI.

Siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 19 Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (WPKL) 1997.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 September 2018 @ 11:42 PM