Mohd Azam Shah Yaacob


KEASYIKAN kira-kira 800 pengunjung sebuah kelab malam di Jalan Pinang, Kuala Lumpur, berhibur terbantut apabila premis itu diserbu pihak berkuasa, malam tadi.

Dalam serbuan di premis itu, 21 lelaki dan empat wanita beragama Islam yang leka berhibur sambil meneguk minuman keras ditahan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI).

Malah, pusat hiburan yang terkenal dalam kalangan pelancong serta pengunjung tempatan bukan Islam itu turut disita pihak berkuasa berikutan beroperasi tanpa lesen sah.

Premis itu antara daripada tiga pusat hiburan di ibu negara yang diperiksa pihak berkuasa menerusi Operasi Banteras Aktiviti Haram (OPS-BAH) siri ke-48 diketuai Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Azman Mahmood dan disertai Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan), Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk M Noor Azman Taib.

M Noor berkata, dalam operasi di tiga premis bermula 12 tengah malam itu, keseluruhannya seramai 31 individu ditahan kerana didapati minum minuman keras, manakala 13 lagi ditahan kerana positif mengambil dadah jenis methaptehamine.

Katanya, dalam serbuan pertama di pusat hiburan di Jalan Imbi, seramai 13 individu ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) kerana postitif mengambil dadah jenis methaphetamine manakala masing-masing tiga lelaki dan wanita ditahan JAWI kerana mengambil minuman keras.

“Pusat hiburan itu dikenakan kompaun RM5,000 bagi setiap kesalahan mengikut Seksyen 30(2)(e) Akta Syarikat 2016 kerana tidak mempamerkan nama serta nombor pendaftaran pada resit.

“Malah, DBKL turut menyerahkan notis kepada pemilik premis susulan didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Hiburan (WPKL) 1992/Akta Hotel 2003 kerana tidak mempamerkan lesen perniagaan,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, malam tadi.

M Noor berkata, tiada tangkapan dibuat ketika pemeriksaan kedua di sebuah pusat hiburan di lokasi sama berikutan premis itu di dapati sudah menamatkan operasi.

Katanya, dalam operasi malam tadi, seramai 43 individu beragama Islam membabitkan 29 lelaki dan 14 wanita turut diberikan Notis Perintah Hadir sesi kaunseling dijalankan JAWI kerana dikesan berhibur di pusat hiburan berkenaan.

“Kami bimbang kerana biarpun operasi kerap diadakan, jumlah pengunjung beragama Islam masih ramai.

“Lebih membimbangkan ada antara mereka itu bukan saja dikesan minum arak, sebaliknya turut positif mengambil dadah.

“Jadi, Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama agensi seperti PDRM, AADK, JAWI, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Imigresen Malaysia, DBKL serta beberapa agensi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan terus melaksanakan Ops BAH bagi mengatasi isu itu selain mencegah sebarang kegiatan menyalahi undang-undang di premis hiburan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 1:27 PM
SEBAHAGIAN daripada pengunjung pusat hiburan di Jalan Pinang, Kuala Lumpur yang diperiksa pihak berkuasa menerusi OPS-BAH siri ke-48, malam tadi. FOTO Muhd Zaaba Zakeria.
SEBAHAGIAN daripada pengunjung pusat hiburan di Jalan Pinang, Kuala Lumpur yang diperiksa pihak berkuasa menerusi OPS-BAH siri ke-48, malam tadi. FOTO Muhd Zaaba Zakeria.