MOHD Norzanyzan meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya merempuh kereta Perodua Axia dalam kemalangan di Jalan Sulaman-Serusup berhadapan Tuaran Futsal Arena di Tuaran, hari ini. FOTO ihsan bomba.
MOHD Norzanyzan meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya merempuh kereta Perodua Axia dalam kemalangan di Jalan Sulaman-Serusup berhadapan Tuaran Futsal Arena di Tuaran, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Recquael Raimi


ANGGOTA polis maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya merempuh Perodua Axia yang memasuki laluan bertentangan di Jalan Sulaman - Serusup berhadapan Tuaran Futsal Arena di Tuaran, hari ini.

Dalam nahas pada 2.30 petang itu, Mohd Norzanyzan Mohd Din, 39, yang menunggang Kawasaki Z900 meninggal dunia di lokasi kejadian akibat pelbagai kecederaan dialami.

Mangsa yang berpangkat sarjan bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tuaran, Asisten Superintendan Raji Hussin Suhodin, berkata siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa menunggang di jalan lurus dari arah Kota Kinabalu menghala Tuaran.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, Perodua Axia dipandu lelaki berusia 39 tahun dan membawa tiga penumpang tiba-tiba memasuki laluan bertentangan untuk memasuki simpang ke Tuaran Futsal Arena.

“Berikutan itu, penunggang motosikal gagal mengelak lalu merempuh bahagian hadapan kiri Perodua Axia,” katanya kepada NSTP.

Difahamkan, empat individu yang berada dalam Perodua Axia itu tidak cedera.

Raji Hussin berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan polis turut memohon saksi kejadian untuk tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Disember 2018 @ 9:33 PM