Recqueal Raimi

Tuaran: Mayat kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dipercayai lemas ditemui penduduk di berhampiran Rumah Rehat, Pekan Kiulu di sini, kelmarin.

Difahamkan, mangsa, Jennifer Evva Allyssa Allai hilang ketika berkelah bersama keluarga pada jam 4 petang di Kampung Poturidong, Kiulu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tuaran Asisten Superintendan Raji Hussin Suhodin berkata, siasatan awal mendapati ketika berkelah ibu bapa mangsa sibuk memanggang makanan manakala enam anak mereka termasuk mangsa mandi di tepi sungai.

“Tidak lama kemudian, ahli keluarga menyedari kehilangan anak bongsu mereka dan segera mencarinya di sekitar kawasan terbabit namun gagal.

“Ketika keluarga mangsa dalam perjalanan ke balai polis untuk mengemukakan aduan, seorang penduduk menemui mangsa dalam keadaan terapung berhampiran di Rumah Rehat, Pekan Kiulu pada jam 5.20 petang,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Raji berkata, pihaknya menerima laporan daripada anggota polis di Pondok Polis Kiulu (PPK) mengatakan mangsa ditemui penduduk kira-kira 700 meter dari lokasi keluarga itu berkelah.

“Keluarga bergegas ke lokasi dan membuat pengecaman mangsa.

“Bedah siasat dilakukan pada jam 10 pagi tadi (semalam) manakala siasatan akan diteruskan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 6:01 AM