KEADAAN kolam takungan lama yang pecah sehingga air melimpah yang menjadi punca Bandar Bukit Besi dilanda banjir kilat, baru-baru ini. FOTO Rosli Ilham.
KEADAAN kolam takungan lama yang pecah sehingga air melimpah yang menjadi punca Bandar Bukit Besi dilanda banjir kilat, baru-baru ini. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


SYARIKAT perlombongan bijih besi bersetuju membayar ganti rugi berhubung masalah banjir lumpur melanda penduduk di Bukit Besi, Dungun pada Disember lalu, walaupun kolam takungan air yang pecah itu bukan miliknya.

Syarikat terbabit kesal dengan kejadian itu yang berpunca daripada sebuah kolam takungan lama yang melimpah sehingga menyebabkan banjir kilat berlaku.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Cawangan Perumahan Bukit Besi, Abas Ghani berkata, pihaknya bersama penduduk sudah mengadakan perjumpaan dengan syarikat berkenaan.

“Sebenarnya bukan kolam milik syarikat itu yang pecah, sebaliknya kolam lama di situ yang menjadi punca banjir kilat.

“Bagaimanapun, syarikat itu rasa bertanggungjawab dan mengambil inisiatif untuk membayar ganti rugi kepada mangsa terbabit,” katanya.

Beliau berkata, kejadian banjir lumpur itu menyebabkan air lumpur memasuki tiga rumah penduduk selain merosakkan satu gelanggang futsal.

“Saya mewakili penduduk berterima kasih kepada syarikat terbabit yang akan membayar ganti rugi ke atas semua mangsa.

“Syarikat terbabit meminta mangsa supaya segera mengemukakan tuntutan sebelum bayaran dibuat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 9:50 PM