FADIL menceritakan kenangan bersama rakan baiknya Allahyarham Muhammad Adib. FOTO Zuliaty Zulkiffli
FADIL menceritakan kenangan bersama rakan baiknya Allahyarham Muhammad Adib. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


“SAYA sempat jumpa dengan Adib kira-kira 20 minit sebelum kejadian, dan dia kelihatan riang sebelum keluar bertugas ke lokasi kejadian.

“Itulah kali terakhir saya bertemu dengannya sebelum dia pergi buat selama-lamanya,” kata Muhamad Fadil Buari, 26.

Muhamad Fadil ketika ditemui menitiskan air mata ketika keranda rakan baiknya, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, dibuka untuk memberi laluan kepada semua rakan dan ahli keluarga untuk memberi penghormatan terakhir anggota bomba itu.

Menurutnya, dia sudah pun mengambil cuti empat hari untuk menghadiri majlis perkahwinan Muhammad Adib yang sepatutnya berlangsung Ahad ini.

“Arwah kelihatan seronok dan menghitung hari untuk bercuti kerana hendak berkahwin dengan tunangnya, namun akhirnya berkecai apabila dia meninggal dunia malam tadi selepas keadaannya kritikal.

“Saya sedih kerana kehilangan seorang rakan yang sangat baik serta pendiam, dan dia tidak banyak karenah sepanjang empat tahun mengenalinya,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga Muhammad Adib di Kuala Tebengau, Kuala Kedah, hari ini.

Muhamad Fadil berkata, dia dan Muhammad Adib bertugas pada hari kejadian, tetapi mereka berlainan pasukan menyebabkan dia hanya duduk di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya.

Katanya, sebaik dimaklumkan berita mengenai kejadian kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya, dia terkejut apabila mendapati rakannya menjadi mangsa akibat kejadian itu.

“Saya tak tahu keadaan dan kecederaan yang dialami Adib ketika itu kerana selepas kejadian dia terus dihantar ke hospital.

“Saya cuma tahu keadaannya kritikal apabila dia dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur dan kesihatannya pulih sedikit sebelum kembali merosot,” katanya.

Muhamad Fadil berkata, sepanjang mengenali Muhammad Adib, arwah seorang yang aktif bersukan jika ada kelapangan.

Katanya, dia sukar untuk mencari pengganti seperti rakannya itu, namun reda dengan apa yang berlaku.

Sementara itu, sepupu mangsa, Amirul Ameer Azmi, 23, berkata setakat ini kad jemputan untuk majlis perkahwinan Allahyarham sudah siap, namun belum diedarkan lagi.

Katanya, sepatutnya kad itu diedarkan bulan lalu, namun disebabkan kejadian yang menimpa Muhammad Adib, keluarganya banyak memberi tumpuan untuk menjaganya sepanjang berada di hospital.

“Setakat ini persiapan sudah hampir 80 peratus, namun di sebelah pihak perempuan saja kerana kenduri sepatutnya berlangsung Sabtu ini manakala di pihak Adib, Ahad ini,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di rumah keluarga Muhammad Adib dan Tanah Perkuburan Masjid As-Saadah, Kuala Tebengau dihadiri hampir 3,000 orang termasuk rakan, anggota, pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan ahli keluarga mangsa termasuk orang ramai.

Lagi berita berkaitan Allahyarham Muhammad Adib

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 2:05 PM