ASMA menahan sebak sebaik jenazah anaknya tiba dengan helikopter di padang SK Tebengau, Kedah, untuk upacara pengebumian, semalam. FOTO Bernama
ASMA menahan sebak sebaik jenazah anaknya tiba dengan helikopter di padang SK Tebengau, Kedah, untuk upacara pengebumian, semalam. FOTO Bernama
Suzalina Halid


“SAYA nak tengok muka orang yang sanggup buat macam itu... sampai bunuh anak saya,” luah Asma Aziz, 51, iaitu ibu kepada anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang maut akibat rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, bulan lalu.

Asma berkata, besar harapannya sebagai seorang ibu untuk melihat individu tidak bertanggungjawab itu diheret ke muka pengadilan sebagai pembelaan terhadap kematian anaknya itu.

Apabila waktu itu tiba nanti, Asma berkata, dirinya sendiri mahu melihat sendiri wajah individu yang tergamak meragut nyawa Muhammad Adib ketika anaknya itu sedang bertugas untuk negara.

"Saya nak depa (mereka) dibawa ke muka pengadilan. Apa yang dilakukan itu tidak boleh dimaafkan, " katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tebengau Tepi Laut, Alor Setar.

Muhammad Adib yang parah dipukul ketika insiden rusuhan, disahkan meninggal dunia pada 9.41 malam, di Institut Jantung Negara (IJN), kelmarin.

Pada masa sama, Asma berkata pihaknya menghargai keprihatinan ramai pihak khususnya di media sosial yang mahu kematian anaknya itu turut dibela ke muka pengadilan.

"Rasa berterima kasihlah namun sampai sekarang saya tak boleh tengok berita mengenai Adib (di laman sosial)... saya tak sanggup lagi.

Mengimbas semula sifat Muhammad Adib, Asma berkata, anak kedua daripada empat beradik itu amat rapat dengan keluarga malah sentiasa pulang ke kampung menaiki pengangkutan awam setiap kali cuti.

Katanya, selain itu, Muhammad Adib juga akan mengambil cuti untuk membantu bapanya mengerjakan sawah setiap kali musim menanam padi tiba.

"Kalau cuti dua haripun arwah akan pulang ke rumah menaiki keretapi atau bas sebab arwah memang rapat dengan keluarga.

"Kalau musim menanam padi tiba, arwah akan menghubungi bapanya untuk mengambil cuti dan membantu di sawah," katanya yang mengakui tidak dapat tidur lena malam tadi berikutan merindui Muhammad Adib.

Malah ketika ditanya lebih lanjut mengenai Muhammad Adib, Asma bagaimanapun tidak dapat menjawab berikutan terlalu sebak.

Katanya, dirinya sekeluarga juga tidak membuat keputusan lagi sama ada mahu 'menukar' majlis perkahwinan yang sepatutnya berlangsung 22 Disember ini sebagai kenduri tahlil berikutan masih terlalu sedih dengan insiden menimpa mereka.

Lagi berita berkaitan Allahyarham Muhammad Adib

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 3:15 PM