SHAMSUL Nizam (dua dari kiri) menunjukkan barang tiruan dirampas selepas menyerbu dewan di hotel di Bangsar, Kuala Lumpur, malam tadi.  FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor.
SHAMSUL Nizam (dua dari kiri) menunjukkan barang tiruan dirampas selepas menyerbu dewan di hotel di Bangsar, Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


JUAL tali pinggang, baju, kaca mata, topi dan selendang berjenama tiruan di hotel terkemuka bagi mengelirukan pengguna dan mengelak dikesan pihak berkuasa.

Itu modus operandi sindiket barangan tiruan yang mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit setiap bulan.

Sindiket itu dikesan menggunakan jenama Gucci, LV, Burberry, Chanel dan Versace serta mengadakan jualan murah di hotel terkemuka.

Bagaimanapun, perkara itu terbongkar selepas penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyerbu hotel berkenaan di Bangsar, Kuala Lumpur, 7 malam tadi.

Ketua Seksyen Siasatan Bahagian Penguatkuasaan, Shamsul Nizam Khalil berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas pelbagai barangan bernilai RM438,520.

“Mereka memperdaya orang ramai kononnya setiap barangan dijual diberikan diskaun tinggi.

“Barangan dijual pada harga serendah RM100 sehingga RM2,000 bergantung kepada jenis barang,” katanya pada sidang media di Stor KPDNHEP WPKL, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, suspek menyewa tempat di hotel berkenaan untuk mengadakan jualan murah barangan tiruan.

Katanya, ia adalah modus operandi baharu dikesan dan pihaknya mendapati promosi berhubung jualan murah barangan berjenama di hotel dibuat menerusi laman sosial Facebook.

“Jualan murah ini biasanya dibuat di hotel tertentu pada hujung minggu atau waktu perayaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 102(1) (b) Akta Cap Dagangan 2019,” katanya.

Shamsul Nizam berkata, orang ramai diminta supaya berhati-hati apabila membeli barangan berjenama terkenal menerusi jualan di mana-mana tempat.

Beliau berkata, lebih baik membeli daripada pengedar sah bagi mengelak terbeli barang tiruan.

Katanya, orang ramai boleh membuat laporan sekiranya mengesyaki barangan dijual di lokasi tertentu adalah tiruan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Disember 2019 @ 5:11 PM