ANGGOTA Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat menjalankan siasat kebakaran bengkel di Kampung Cacar Paka. FOTO Rosli Ilham
ANGGOTA Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat menjalankan siasat kebakaran bengkel di Kampung Cacar Paka. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


“TENGAH sedap rehat tiba-tiba elektrik terputus. Saya terus keluar untuk periksa kotak suis tapi terkejut bila nampak api membakar kabin sebelah,” kata Rahmat Sulong, 22, menceritakan kejadian kebakaran bengkel tempat kerjanya di Kampung Cacar, Paka, dekat Dungun, malam tadi.

Kejadian 9.55 malam itu menyebabkan bengkel berkenaan musnah sama sekali dengan anggaran kerugian sebanyak RM500,000.

Insiden itu turut memusnahkan tiga kenderaan iaitu sebuah lori tiga tan, van Nissan Vanette dan sebuah Proton Waja.

Rahmat berkata, sebelum kejadian dia bersama tiga lagi rakan setugas sedang berehat di dalam kabin terbabit sebelum tiba-tiba bekalan elektrik terputus.

“Saya nampak api di dalam kabin sebelah dan sebaik membuka pintu, saya dapati api dah marak dan merebak,” katanya

Menurutnya, dia bersama tiga rakan berusaha menyelamatkan tiga kenderaan syarikat itu, namun gagal.

“Di sebelah kabin ada kira-kira 4,000 liter minyak ‘transformer’ (alat ubah) yang mengalir berhampiran tiga kenderaan berkenaan sebelum api menyambar dan memusnahkan ketiga-tiga harta syarikat itu.

“Saya tak mampu berbuat apa-apa selain menghubungi talian kecemasan untuk memaklumkan kebakaran itu.

“Memang sedih bila tempat saya mencari rezeki sejak tiga tahun lalu musnah dan kami hanya tinggal sehelai sepinggang, namun saya bersyukur kerana semua rakan-rakan selamat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Disember 2018 @ 4:46 PM