Sebahagian kanak kanak yang menyertai program berkhatan di Sarikei. FOTO Khalid Latip
Sebahagian kanak kanak yang menyertai program berkhatan di Sarikei. FOTO Khalid Latip
Khalid Latip

PROGRAM Khatan Perdana Kuala Rajang di Sarikei mencatat sejarah tersendiri apabila menerima penyertaan 44 anak masyarakat Iban.

Ia adalah penyertaan paling ramai anak masyarakat bukan Islam dari beberapa rumah panjang di kawasan Sare, Kerubong, Kerapa, Sebayang dan Stalun untuk bersama berkhatan beramai-ramai.

Program berkhatan secara percuma itu dianjurkan Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumputera Bersatu (PBB) Kuala Rajang.

Ketua Pemuda PBB Kuala Rajang, Mohd Tazullah Khan berkata, program berkenaan dianjurkan bersama Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Kuala Rajang.

“Kami gembira kerana program kali ini mendapat sambutan di luar jangkaan. Jika tidak ada aral melintang, kami berhasrat untuk meneruskan penganjuran pada masa akan datang.

“Sebelum ini, kami mengkhatankan 45 orang kanak-kanak Islam di kawasan Belawai, 92 orang di Sarikei dan 34 Selalang,” katanya.

Beliau berkata, program khidmat sosial masyarakat itu terbuka kepada semua penduduk, tanpa mengira latar belakang dan memberi keutamaan kepada keluarga yang berpendapatan rendah.

Katanya lagi, aktiviti itu mendapat kerjasama Pusat Khidmat N.41 Kuala Rajang yang menyediakan petugas perubatan profesional berpengalaman dan dibantu sukarelawan.

Sementara itu, seorang kanak-kanak yang menyertai program itu, Edward Ranggi, 11, mengakui pada mulanya agak takut dan cemas sebelum dibawa masuk ke bilik berkhatan.

Bagaimanapun katanya kehadiran rakan-rakan meredakan debaran sekali gus menghilangkan rasa gemuruh.

“Ini pengalaman paling manis yang tidak mungkin saya lupakan hingga ke akhir hayat dan sudah pasti, saya akan ceritakan kepada keluarga serta rakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 November 2018 @ 3:40 PM