DUA wakil syarikat One City Development Sdn Bhd disambung reman. FOTO Eizairi Shamsudin
DUA wakil syarikat One City Development Sdn Bhd disambung reman. FOTO Eizairi Shamsudin
Sarah Zulkifli


TEMPOH reman dua wakil syarikat, termasuk penasihat undang-undang syarikat pemaju, One City Development Sdn Bhd (One City), yang dipercayai menjadi dalang insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, dilanjutkan selama tiga hari lagi.

Majistret Nor Ariffin Hisham mengeluarkan perintah reman bermula esok sehingga Sabtu ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan terhadap kedua-duanya yang tempoh reman mereka akan tamat pada tengah malam ini.

Selain itu, perintah reman selama empat hari turut dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya terhadap empat lagi individu yang berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun yang ditahan untuk membantu siasatan kes sama.

Siasatan kes di bawah Kanun Keseksaan itu dilakukan mengikut Seksyen 435 (khianat dengan api), Seksyen 148 (merusuh), Seksyen 427 (melakukan khianat) dan Seksyen 447 (pencerobohan jenayah).

Semalam, kedua-dua wakil syarikat berusia 40-an itu direman bersama 14 suspek lain bagi membantu siasatan berhubung insiden kekecohan di kuil berkenaan.

Dalam kejadian awal pagi semalam, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat parah dan terpaksa dimasukkan ke Hospital Sime Darby Medical Centre dalam kejadian rusuhan di luar kuil Sri Maha Mariamman.

Kejadian kira-kira 2 pagi Isnin itu tercetus apabila puluhan individu berkumpul dan merusuh di kawasan tapak kuil hingga berlaku pergaduhan antara dua kumpulan yang menyebabkan 19 kereta, 16 motosikal dan 11 kenderaan lain terbakar.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 2:38 PM