Sarah Zulkifli

MAHKAMAH Majistret Petaling Jaya, hari ini mengeluarkan perintah tahanan reman selama dua hingga empat hari terhadap 21 lagi individu untuk membantu siasatan berhubung insiden kekecohan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Isnin minggu lalu.

Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Nurshahirah Abd Salim bermula hari ini bagi membolehkan siasatan dilakukan terhadap semua suspek yang berusia dalam lingkungan 18 hingga 40 tahun.

Mereka ditahan bagi membantu siasatan di bawah Kanun Keseksaan mengikut Seksyen 435 (khianat dengan api), Seksyen 148 (merusuh), Seksyen 427 (melakukan khianat) dan Seksyen 447 (pencerobohan jenayah) dan Seksyen 506 (ugutan jenayah).

Turut dilihat, ahli keluarga dan rakan suspek yang menunggu di luar mahkamah sejak jam 8 pagi di luar bilik mahkamah.

Dua hari lalu, seramai empat lelaki, termasuk seorang pegawai keselamatan syarikat pemaju, One City Development Sdn Bhd (One City) yang terbabit dalam insiden kekecohan di kuil itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan merusuh dengan menggunakan senjata berbahaya.

Dalam prosiding di mahkamah sama, seorang mekanik dipenjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah gagal mematuhi arahan pihak polis untuk bersurai di Kuil Sri Maha Mariamman pada Rabu minggu lalu, iaitu dua hari selepas kejadian rusuhan berkenaan.

Manakala seorang juruteknik didenda RM5,000 kerana gagal mengemukakan kad pengenalan dan mengabaikan perintah pihak polis yang menyelia lalu lintas pada Rabu minggu lalu itu.

Dalam kejadian awal pagi pada 26 November itu, 23 kenderaan musnah dibakar, manakala cermin pusat beli-belah One City turut dipecah dan dirosakkan.

Akibat kejadian itu, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd Kassim yang diserang perusuh sebelum ini dilaporkan kritikal namun kini memberi reaksi positif selepas menukar sistem sokongan kepada mesin Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO) yang membantu fungsi paru-paru, di Institut Jantung Negara (IJN).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 7:08 PM