Ahmad Maslan (bawah) mempertahankan prinsipnya untuk mempercayai Arul Kanda sebagaimana beliau percaya kata-kata Lim (atas) tetapi tidak 100 peratus. FOTO Ihsan BNPPortal
Ahmad Maslan (bawah) mempertahankan prinsipnya untuk mempercayai Arul Kanda sebagaimana beliau percaya kata-kata Lim (atas) tetapi tidak 100 peratus. FOTO Ihsan BNPPortal
Mohd Anwar Patho Rohman

PERSIDANGAN Dewan Rakyat hari ini gamat apabila Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Datuk Ahmad Maslan (BN UMNO-Pontian) berbalas kilasan dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ia dimulakan oleh Lim yang menyatakan Ahmad amat konsisten mempertahankan 1MDB dan menerima penjelasan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy mengenai jumlah hutang ditanggung agensi itu.

“Saya kagum dengan Pontian kerana terus mempertahankan 1MDB. Saya ucapkan syabas atas ketabahan Pontian memperjuangkan sesuatu yang sudah ditinggalkan semua rakan Ahli Parlimen UMNO.

“Tinggal Pontian saja yang habis-habisan mempertahankan 1MDB dan Pekan (Datuk Seri Najib Razak),” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya, hari ini.

Selepas memberi ruang Lim meneruskan penggulungannya, Ahmad bangun mencelah dan menegaskan mempunyai sebab untuk terus mempercayai penjelasan Arul Kanda dalam soal hutang ditanggung 1MDB.

“Saya tidak ada sebab untuk tidak percaya beliau. Beliau seorang profesional dan berani menyatakannya di khalayak, bukan sekali tetapi berulang kali bahawa aset 1MDB pada 19 Mac lalu adalah RM42 bilion dan hutang RM31 bilion. Saya mengambilnya dengan dengan suci hati.

“Kata YB (Yang Berhormat), dia bohong, itu YB yang kata, tapi saya tidak percaya 100 peratus YB cakap. Sejak bila saya percaya 100 peratus cakap YB?

“Saya boleh percaya Arul pada peratusan tertentu tapi saya juga boleh percaya pada peratusan tertentu cakap YB. Tapi YB tak boleh paksa saya percaya 100 peratus kata YB,” katanya.

Susulan itu, Lim menyifatkan keputusan Ahmad itu seperti tindakan ‘si luncai terjun dengan labu-labunya’ sebelum meneruskan ucapan penggulungannya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bagan itu berkata, sejumlah RM9.974 bilion Wang Tidak Dituntut (WTD) diserahkan oleh entiti kewangan kepada Jabatan Akauntan Negara sehingga 31 Oktober 2017.

Daripada jumlah itu, katanya, sejumlah RM1.875 bilion dibayar balik dan RM1.6 bilion dikreditkan dalam pindahan hasil kerana tidak dituntut dalam tempoh 15 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 7:44 PM