LIM Guan Eng
LIM Guan Eng
Mohd Anwar Patho Rohman

Kuala Lumpur: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng meminta Datuk Seri Najib Razak mendedahkan jumlah gaji Arul Kanda Kandasamy sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Guan Eng berkata, bekas Perdana Menteri itu perlu mengemukakan fakta dan angka tepat sebelum menyimpulkan gaji RM5 juta daripada 1MDB dan kerajaan kepada Arul Kanda sebagai setimpal.

“Saya nak bertanya kepada bekas Perdana Menteri, adakah Arul Kanda dapat gaji RM10 juta setahun sebelum menjadi Presiden 1MDB.

“Saya tidak ada rekod gaji beliau RM5 juta dalam enam bulan atau RM10 juta setahun.

“Saya nak tanya adakah bekas Perdana Menteri berbohong lagi supaya dapat mempertahankan gaji tinggi diberi 1MDB dan kerajaan kepada Arul Kanda.

“Tolong ingat balik untuk tempoh enam bulan pertama mulai 1 Januari sehingga 30 Jun lalu, Arul Kanda adalah pekerja tunggal dalam 1MDB dan tiada pekerja lain.

“Saya persoal kredibiliti bekas Perdana Menteri yang memberi alasan tidak masuk akal,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, semalam.

Najib sebelum ini mempertahankan pembayaran gaji kontrak Arul Kanda berjumlah RM5 juta selama enam bulan sebagai satu perkara yang baik dan setimpal dengan tanggungjawab dan peranannya dalam syarikat itu.

Sebelum berkhidmat di 1MDB, Arul Kanda pernah memegang jawatan Timbalan Presiden Eksekutif dan Ketua Perbankan Pelaburan Abu Dhabi Commercial Bank serta ahli lembaga pengarah Global Investment House (Kuwait).

Kelmarin, Guan Eng mendedahkan ganjaran gaji diterima Arul Kanda bernilai RM5 juta dalam tempoh enam bulan mulai Januari hingga Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 11:01 AM