Farah Marshita Abdul Patah

LELAKI dipercayai terbabit dalam kejadian langgar lari di Taman Equine, Seri Kembangan sehingga menyebabkan kematian wanita yang sedang makan di restoran didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini atas tuduhan membunuh.

Wilsonresa Anak Dudom, 22, hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Hafidzuddin Yusoff.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berkemeja hitam. Dia dilihat hanya mendiamkan diri dan tunduk sepanjang prosiding.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Wilsonresa didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Wong Sow Lin, 57, di hadapan Restoran Tar Chong, Jalan Equine 9B, Sri Kembangan, 8.20 malam, 18 November lalu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran, memohon mahkamah menetapkan tarikh untuk sebutan semula sementara menunggu laporan bedah siasat dan forensik.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Ahad lalu, wanita berusia 57 tahun maut manakala empat lagi cedera akibat dirempuh kenderaan ketika makan.

Berita berkaitan:

  • Pemandu langgar orang sedang makan ditahan
  • 'Kenderaan dipandu ke kiri ke kanan'
  • Semak semula polisi letak barang di parkir
  • Maut dirempuh ketika makan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 November 2018 @ 3:33 PM
    PETALING JAYA 23 NOVEMBER 2018. Wilsonresa Anak Dudom, 22, yang dipercayai terbabit dalam kejadian langgar lari di Taman Equine, Seri Kembangan, sehingga menyebabkan seorang wanita yang sedang makan di sebuah restoran maut, didakwa Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh. NSTP/Farah Marshita Abdul Patah