FOTO hiasan Arkib NSTP
FOTO hiasan Arkib NSTP
Nor Afzan Mohamad Yusof


RATA-RATA pelayar media sosial bersetuju perbuatan menghisap vape dan shisha perlu dilarang seperti penguat kuasaan larangan merokok di semua restoran dan kedai makan mulai tahun depan.

Undian dalam talian berhubung persoalan ‘Adakah wajar perbuatan menghisap vape dan shisha turut dilarang seperti penguat kuasaan larangan merokok di semua restoran dan kedai makan mulai tahun depan. Sila beri pandangan anda,” yang dimuatnaik pada jam 12 tengah hari hari ini di Facebook BH, Harian Metro dan New Straits Times hingga jam 4 petang, sebanyak 82 peratus setuju dan 18 peratus tidak bersetuju.

Ia membabitkan sebanyak 29,215 undian di FB dan Twitter.

Daripada 24,700 undian di FB, seramai 20,254 undi atau 82 peratus bersetuju, manakala 18 peratus atau 4,446 undi pula tidak bersetuju.

Di ruangan Twitter pula menunjukkan sebanyak 4,515 undi dengan 82 peratus atau 3,702 bersetuju, manakala 18 peratus atau 812 undi lagi tidak bersetuju.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad hari ini berkata, rokok elektronik (vape) dan shisha tidak termasuk dalam peraturan larangan merokok di semua premis makanan yang akan dikuat kuasakan pada 1 Januari 2019.

Bagaimanapun, katanya, kementerian masih dalam peringkat perbincangan untuk menguat kuasakan peraturan membabitkan vape dan shisha dalam masa terdekat.

Selain undian, pelayar media sosial juga mengemukakan pandangan mereka di ruangan komen.

Speed Waja berkata, “saya pun penjual flavour vape.. tp saya setuju jika ia turut dlarang dgunakn dsemua restrn dan kdai makan.. walau asapnya tidak membahayakn namun ia lebih kepada adab.. bila dsembur wap tebal terus terbang kena makanan dan minuman org sebelah sedangkan wap tu dtg dari dalam mulut penghisap...”

Hairil Azuin Md Akil Nak pula berkata, “adil sangat kan? Wujudkan je restoran khas untuk penghisap vape.....rokok sekali pon x apa.....dengan syarat ianya mustilah berhawa dingin dan tertutup sepenuhnya...”

Bagi Nurul Nadiah, “Cari tmpt yg sesuai nk merokok.. Just bertimbang rsa dgn org sekeliling.. Asap rokok tu membahayakn org lain.. Lg2 utk bby.. Sy sendri xselesa bla trhidu asap rokok nafas rsa sesak nafas .. So just jd org yg brtimbang rsa..”

Mas Zaizeli Ibrahim Benda berkata “melibatkan asap ni patutnya kena hindari dari manusia.apatah lagi manusia TGH makan.patut disamakan dgn perokok.walaupun saya perokok tegar.benda melibatkan kesihatan org ramai saya setuju.”

Bermula 1 Januari depan, peraturan larangan merokok akan dikuat kuasakan di semua restoran bertutup, berhawa dingin, atau restoran dan warung berkonsep terbuka.

Dengan penguat kuasaan peraturan itu, perokok boleh didenda RM10,000 dan pengusaha makanan yang tidak mematuhi larangan ini boleh didenda RM2,500.

Susulan itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan turut melarang penggunaan vape dan shisha di restoran terbuka seperti larangan merokok.

Presiden CAP SM Mohamed Idris berkata, kedua-dua bahan itu juga mempunyai nikotin yang secara tidak langsung turut membahayakan perokok pasif sama seperti prrokok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 November 2018 @ 6:38 PM