Izz Laily Hussein


Johor Bahru: "Kadang-kadang berang juga bila mereka buat macam tak jadi kesalahan merokok dalam restoran," kata pelanggan sebuah restoran di sini, semalam.

Menurut wanita yang enggan dikenali itu, lebih menyakitkan hati apabila ada perokok tidak mengindahkan kanak-kanak dan wanita mengandung yang berada dalam premis itu.

"Saya cakap dengan suami kita salah pilih tempat sebab ada orang merokok di meja sebelah kami. Tak selesa, rasa macam nak tegur," katanya.

Katanya, perbuatan perokok itu menyebabkan pelanggan tidak selesa terutamanya wanita, warga emas dan ibu mengandung.

"Saya sangat menyokong jika penguat kuasa dari Jabatan Kesihatan kerap melakukan operasi dan mengambil tindakan tegas ke atas perokok yang masih merokok di premis-premis makanan atau kawasan tumpuan awam," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu dalam satu kenyataan memberitahu, operasi yang dijalankan di seluruh Johor itu dianggotai seramai 150 pegawai dan anggota JKNJ sempena dengan sambutan Hari Malaysia.

"Dalam operasi berkenaan, sebanyak 165 notis kesalahan dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya merokok di tempat awam.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 85 notis kesalahan iaitu 51.5 peratus dikeluarkan di premis makanan. Hasil dapatan operasi menunjukkan perokok masih tidak cakna dan tanpa segan silu merokok di premis makan," katanya.

Menurut Dr Aman, sehingga 15 September tahun ini, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 5,430 notis kesalahan berjumlah RM1.3 juta.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 4,249 notis kesalahan kerana merokok di kawasan larangan merokok, 441 notis kesalahan di bawah peraturan 13(1) dikeluarkan kepada Orang Belum Dewasa (OBD) yang merokok, 295 notis kesalahan di bawah Peraturan 12(1)(a) kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok di premis," jelasnya.

Beliau berkata, operasi seumpama itu akan terus dipergiatkan bagi melindungi orang awam daripada bahaya asap rokok.

Dalam pada itu, JKNJ menjalankan Operasi Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004) di sekitar pusat bandar diketuai Pegawai Kesihatan Persekitaran JKNJ, Mohammad Amirul Abdul Razak.

Mohammad Amirul berkata, majoriti perokok tahu akan larangan merokok di premis makanan dan kawasan tumpuan awam, namun mereka tetap melakukannya.

"Kesedaran orang ramai terhadap larangan itu ada, mereka tahu perbuatan itu salah tetapi tetap melakukannya. Mereka umpama pentingkan diri kerana tidak kisah dan terus merokok di kawasan larangan," katanya ketika ditemui pada operasi itu, malam tadi.

Turut diperiksa adalah mereka yang didapati menghisap shisha di premis makanan.

Bagaimanapun, Mohammad Amirul berkata, bagi perbuatan menghisap shisha, sampel perasa shisha itu perlu dihantar ke makmal bagi uji kaji terlebih dahulu bagi menentukan sama ada ia mengandungi hasil tembakau di dalamnya.

"Jika benar kandungan dalam perasa shisha itu terdapat hasil tembakau, baharulah kompaun dikeluarkan kepada mereka yang menghisap shisha terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2022 @ 2:23 PM
MOHAMMAD Amirul memantau Operasi Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004) di sekitar pusat bandar di sini, semalam. FOTO Izz Laily Hussein
MOHAMMAD Amirul memantau Operasi Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004) di sekitar pusat bandar di sini, semalam. FOTO Izz Laily Hussein