PAPAN tanda larangan merokok jelas terpampang pada premis makanan di Kuala Lumpur. Pewartaan kawasan larangan merokok berkuatkuasa 1 Januari 2019 di semua premis dan restoran makanan seluruh negara. FOTO Syarafiq Abd Samad
PAPAN tanda larangan merokok jelas terpampang pada premis makanan di Kuala Lumpur. Pewartaan kawasan larangan merokok berkuatkuasa 1 Januari 2019 di semua premis dan restoran makanan seluruh negara. FOTO Syarafiq Abd Samad
Ahmad Suhael Adnan


KIRA-KIRA 80 peratus daripada lebih 25,000 netizen bersetuju dengan cadangan Kementerian Kesihatan yang mahu memperluaskan pewartaan kawasan larangan merokok membabitkan premis dobi layan diri dan hotel dalam tempoh terdekat.

Ia berdasarkan kaji selidik dalam talian menerusi Facebook dan Twitter kendalian tiga akhbar keluaran The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) antara 1 tengah hari hingga jam 6 petang, hari ini.

Undian selama lima jam itu menarik undian 22,898 netizen menerusi akaun Facebook Berita Harian (BH); Harian Metro (HM) dan New Straits Times (NST), dengan 80 peratus atau 18,235 menyokong cadangan memperluaskan kawasan larangan merokok.

Selain itu, undian sama menerusi Twitter BH, HM dan NST pula disertai 3,019 netizen, dengan 85 peratus atau 2,572 bersetuju supaya dobi dan hotel diwartakan sebagai kawasan larangan merokok.

Kaji selidik itu dibuat susulan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan kementerian itu akan memperluaskan pewartaan kawasan larangan merokok di negara ini, yang ketika ini hanya membabitkan kepada sembilan jenis permis di tempat awam.

Ia susulan pewartaan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok bermula hari ini, dengan individu hanya dibenarkan merokok dalam jarak tiga meter dari tempat makan.

Selain daripada membuat undian sama ada bersetuju atau tidak dengan cadangan itu, netizen turut meninggalkan pelbagai pandangan dalam ruangan komen.

Netizen yang menggunakan nama Nor Azlina berkata, perokok sewajarnya hanya merokok di rumah sendiri dan tidak sepatutnya berkeras untuk merokok di kawasan larangan, memandangkan asap rokok memberi kesan kepada mereka yang menghidunya.

Komen positif ditinggalkan Nabawi Sabri yang mahu perokok menjadikan pewartaan kawasan larangan merokok sebagai motivasi untuk berhenti daripada tabiat buruk itu.

"Kepada perokok tegar, jadikan ini motivasi dan azam tahun baharu 2019 untuk berhenti merokok. Semoga berjaya," katanya.

Sementara itu, Ruzaiman Wakaf Bharu mencadangkan supaya kerajaan mengharamkan terus rokok di negara ini, manakala Arif Akashah pula mengingatkan kepada perokok beragama Islam bahawa amalan itu difatwakan sebagai haram.

Hasanul Isyraf Abdul Aziz pula menyarankan supaya Kementerian Kesihatan menularkan wajah perokok yang berdegil dan masih melakukan perbuatan itu di kawalan larangan.

"Tular dan lapor wajah perokok melaui sistem SMS, Whatsapp atau Telegram," katanya.

Nora Zura pula mencadangkan supaya Kementerian Kesihatan turut mewartakan pasar awam sebagai kawasalan larangan merokok.

"Kalau boleh (wartakan) pasar ikan/awam sekali sebab pasar kawasan yang terkepung. Ada antara pelanggan dan penjual yang merokok dalam kawasan pasar awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 8:44 PM