MAZLAN beramah mesra dan menyampaikan sumbangan kepada orang ramai sempena Program Kepolisan Berprofil Tinggi di Terminal Bersepadu Selatan (TBS). FOTO Eizairi Shamsudin
MAZLAN beramah mesra dan menyampaikan sumbangan kepada orang ramai sempena Program Kepolisan Berprofil Tinggi di Terminal Bersepadu Selatan (TBS). FOTO Eizairi Shamsudin
Fazrik Kamarudin

BAGI memaksimumkan tahap keselamatan di sekitar kawasan tumpuan pelancong, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merancang untuk membina lapan pondok bit polis di lokasi strategik sekitar Kuala Lumpur.

Antara lokasi yang sudah dikenal pasti adalah di Tugu Negara, Dataran Merdeka, Bukit Bintang, Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pondok bit polis itu akan membantu meningkatkan faktor ‘omnipresence’ atau kehadiran polis di kawasan terbabit selain mengurangkan kadar jenayah terhadap pelancong.

"Kita sudah kenal pasti lima lokasi dan senarai lokasi yang terakhir akan dimuktamadkan kelak kerana kita rancang untuk ia mula beroperasi pada tahun depan.

"Proses kenal pasti lokasi dibuat berdasarkan latarbelakang lokasi yang dikategorikan sebagai titik panas (hotspot) selain perbincangan bersama persatuan dan agensi pelancong.

"Pondok bit polis ini akan beroperasi dengan seorang atau dua anggota, anggota ini juga akan melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan berhampiran selain mempunyai nombor telefon khas untuk dihubungi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Kepolisan Berprofil Tinggi (HPP) di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas berhubung cuti perayaan Deepavali, Mazlan menasihatkan warga kota supaya sentiasa berwaspada untuk mengelakkan menjadi mangsa jenayah musim perayaan.

"Minimumkan peluang penjenayah untuk menjadikan kita sebagai mangsa, ambil semua langkah berjaga-jaga dan peka dengan keselamatan diri dan harta benda.

"Orang ramai digalak menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) untuk memaklumkan kepada polis mengenai ketiadaan mereka di rumah sempena cuti Deepavali.

"Anggota polis Kontijen Kuala Lumpur juga sudah dikerah untuk bersedia 24 jam sepanjang tempoh cuti ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 8:30 PM