Abdul Azeez  (kanan) ketika menyampaikan sumbangan kepada Faridah.
Abdul Azeez (kanan) ketika menyampaikan sumbangan kepada Faridah.
Siti Farahiyah Aziz

Puchong: Kadar baru caj visa bagi mengerjakan haji dan umrah akan diumumkan semula selepas Lembaga Tabung Haji (TH) mendapat maklumat rasmi daripada kerajaan Arab Saudi dalam tempoh terdekat.

Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, buat masa ini, pihaknya belum lagi membuat keputusan mengenai kadar baru berkenaan kerana ia ditentukan oleh kerajaan Arab Saudi sendiri.

“Keputusan itu hak kerajaan itu sendiri dan selepas menerima laporan rasmi, TH akan mengadakan pertemuan dengan semua syarikat atau agensi pelancongan yang berdaftar di bawah TH untuk memaklumkan kadar baru itu.

“Tindakan yang diambil mungkin satu cara untuk mengawal limpahan jemaah terutama pada bulan Ramadan kerana terlalu ramai yang ingin melakukan umrah pada waktu itu,” katanya pada majlis ziarah waris petugas haji yang meninggal dunia di Tanah Suci di Puchong Indah, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Johan Abdullah dan Ahli Lembaga Pengarah TH Tan Sri Shukry Mohd Salleh.

Abdul Azeez berkata, jika dilihat daripada sudut haji TH, jemaah kali pertama mengerjakan haji mendapat subsidi dan mengenai visa itu, hak kerajaan itu sendiri untuk menaikkannya bagi kali kedua ke Tanah Suci.

“Kita akur dengan keputusan mereka dan perkara lebih penting keakraban antara pemimpin Arab Saudi dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terus terjalin sehingga TH terus diiktiraf kerajaan itu.

“Walaupun berdepan dengan kenaikan caj itu, kerjasama baik dijalankan antara TH dengan kerajaan Arab Saudi terus dipertingkatkan bagi memastikan jemaah dapat memperoleh manfaatnya,” katanya.

Terdahulu, Abdul Azeez menziarahi dan menyampaikan sumbangan insurans dan khairat kematian kepada waris petugas haji, Sajari Sawi, 56, yang meninggal dunia di Tanah Suci pada 14 September lalu.

Allahyarham Sajari yang juga anggota di Jabatan Khidmat Pendeposit dan Operasi, Ibu Pejabat TH Kuala Lumpur meninggal dunia akibat serangan jantung dan dikebumikan di Perkuburan Syaraek, Makkah.

Abdul Azeez turut menyifatkan Allahyarham yang bertugas sebagai Penolong Pengurus Zon 1 (Madinah) sebagai seorang berdedikasi serta bertanggungjawab.

Allahyarham yang berkhidmat dengan TH sejak tahun 1985 meninggalkan isteri, Faridah Harun, 56, dan tiga anak, Nurul Syazwani, 25, Nurul Farhanah, 22, dan Muhammad Syamil, 21.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2016 @ 9:00 AM