TONTO mengekori kenderaan anggota penguatkuasa JIM sejauh kira-kira 30 kilometer dari Kuala Lumpur ke Putrajaya selepas premis hiburan di Taman Shamelin Perkasa diserbu dan 73 GRO ditahan, malam tadi. FOTO ihsan JIM.
TONTO mengekori kenderaan anggota penguatkuasa JIM sejauh kira-kira 30 kilometer dari Kuala Lumpur ke Putrajaya selepas premis hiburan di Taman Shamelin Perkasa diserbu dan 73 GRO ditahan, malam tadi. FOTO ihsan JIM.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


ENAM individu dipercayai tonto upahan mengekori anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan menaiki empat kenderaan kira-kira 30 kilometer selepas premis hiburan diserbu.

Tindakan berani tonto itu disebabkan ‘geram’ apabila 73 wanita pelayan pelanggan atau GRO di sebuah premis di Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur, ditahan dalam serbuan malam tadi.

Ketua Pengarah JIM Datuk Seri Mustafar Ali berkata, mereka mengekori kenderaan dinaiki penguat kuasa sehingga ke Putrajaya.

“Bagaimanapun, JIM berjaya menahan dua kereta dinaiki enam individu yang mengekori kenderaan dinaiki anggota penguat kuasa.

“Dua lagi kenderaan berjaya melarikan diri selepas cuba melanggar kenderaan dinaiki penguat kuasa JIM,” katanya.

Mustafar berkata, semua individu yang ditahan itu kini dirakam percakapan awal.

Beliau berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Walaupun sering diekori tonto, ini tidak mematahkan semangat anggota penguatkuasa JIM untuk terus melakukan operasi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 1:53 PM