LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sentiasa mengubah teknik operasi yang dijalankan sama ada melalui risikan atau penyamaran dan menggunakan khidmat pemberi maklumat.

Pengarah Penguat kuasa JPJ Datuk Lokman Jamaan berkata, pada masa sama, JPJ turut menggunakan kenderaan awam untuk penyamaran semasa melakukan operasi.

"Setakat ini, teknik itu berjaya mengatasi tindakan kumpulan samseng atau tonto sehingga berjaya menahan kenderaan berat yang menggunakan khidmat mereka," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan perkhidmatan tonto yang dibayar bagi melindungi kenderaan perdagangan dan barangan di jalan raya masih berleluasa dan terus mengganggu tugas pasukan JPJ untuk menjalankan penguatkuasaan.

Situasi itu dapat dilihat menerusi Op Patuh Khas yang dijalankan sepanjang bulan ini apabila kenderaan penguat kuasa JPJ diekori kumpulan terbabit.

Sementara itu, Lokman berkata, tonto juga sanggup menunggu beberapa jam bagi menunggu pergerakan kenderaan di pejabat dan stesen penguat kuasa JPJ.

Katanya, tindakan itu bertujuan mengekori pasukan penguat kuasa dan memaklumkan pergerakan mereka kepada pemandu lori.

"Tonto-tonto ini akan memaklumkan pergerakan kenderaan JPJ melalui alat perhubungan seperti walkie talkie' atau telefon bimbit kepada pemandu lori.

"Apabila maklumat diperoleh daripada tonto, pemandu lori yang melanggar peraturan boleh mengubah laluan atau menghentikan pergerakan mereka," katanya.

Katanya, setakat ini, tiada sebarang tangkapan terhadap tonto dibuat oleh pihak JPJ memandangkan agensi itu tidak diberi kuasa untuk menghalang kegiatan samseng berkenaan.

"Kegiatan tonto adalah di bawah peruntukan undang-undang pencegahan kumpulan haram atau kegiatan haram yang dikendalikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Di pihak JPJ, apa tindakan yang kita boleh ambil adalah membuat laporan polis mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam melaksanakan tugas.

"Hanya dalam keadaan kritikal, tindakan itu (membuat laporan polis) akan diambil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 3:07 PM