Faris Fuad


SEPULUH individu ditahan selepas polis menyerbu sebuah premis judi yang baru beroperasi empat hari di Taman Daya Kepong, Kuala Lumpur, malam tadi.

Pada serbuan jam 7 malam itu, lapan daripadanya adalah warga asing dari Bangladesh dan Indonesia.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, serbuan hasil maklumat bahawa premis itu menjalankan aktiviti judi tanpa lesen.

Beliau berkata, ketika serbuan, tujuh pelanggan berada di dalam premis berkenaan dan leka berjudi.

“Pemeriksaan mendapati dua warga tempatan dibantu seorang warga asing bertindak sebagai penjaga premis itu.

“Selebihnya adalah pemain judi,” katanya ketika ditemui selepas serbuan berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya merampas 10 mesin slot, lapan daripadanya masih berfungsi, manakala dua lagi rosak.

“Turut dirampas empat mesin simulator. Kita anggarkan setiap unit mesin slot dan simulator itu masing-masing bernilai RM15,000 dan RM25,000.

“Dua telefon bimbit penjaga premis itu berserta wang tunai berjumlah RM530 dirampas sebagai bahan bukti siasatan,” katanya.

Samsor berkata, semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk tindakan selanjutnya.

“Kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 61C Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 1:01 AM