Muhammad Mustakim Ramli dan Dziyaul Afnan Abdul Rahman


AHLI keluarga tiga beranak yang ditemui lemas di Sungai Arau di Arau, semalam mengakui sukar menerima hakikat bahawa mereka meninggal dunia kerana cuba membunuh diri dengan meminum racun.

Norhan Abdullah berkata, arwah ibu saudaranya Norma Pin, 64, dan suami Baharom Ahmad, 66, dikenali sebagai individu yang kuat pegangan agama dan kerap ke masjid setiap kali waktu solat.

Katanya, anak lelaki pasangan terbabit yang ditahan polis di Sungai Petani, Kedah, malam semalam pula dikenali sebagai seorang yang lurus dan lebih banyak menurut arahan.

“Dia (anak lelaki arwah) sebenarnya orang kelainan upaya (OKU) kerana mempunyai masalah dalam pembelajaran. Jika orang pukul sekali pun dia memang tidak akan balas.

“Sebagai ahli keluarga, kami berasa sedih melihat tanggapan orang ramai yang menyalahkan anak lelaki arwah sebagai punca kematian ibu, ayah dan adiknya, Norzalina, 35,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Norhan berkata, dia tidak pasti sama ada keluarga berkenaan mempunyai masalah bebanan hutang seperti yang dikatakan lelaki itu ketika memberi keterangan kepada polis.

“Kami tidak pasti, malah kenyataannya kepada polis bahawa ibu, bapa dan adiknya minum racun juga boleh dipertikaikan kerana dia tidak seperti orang lain kerana terlalu lurus.

“Kami khuatir jika mereka minum ubat dan dia pula beranggapan minum racun. Saya harap polis dapat menyiasat kes ini secara terperinci kerana bimbang mungkin ada individu lain yang terbabit,” katanya.

Difahamkan, sehingga kini proses bedah siasat ke atas ketiga-tiga mangsa belum dapat dilakukan walaupun persediaan bagi pengebumian mereka di Tanah Perkuburan Islam Arau sudah dilakukan ahli keluarga.

Berita berkaitan

[UPDATE] Tiga beranak minum racun sebelum terjun

[UPDATE] Kepulangan terakhir sebuah keluarga... [METROTV)

[UPDATE] Ingatkan lemas, rupanya....

Mayat dua beranak ditemui terapung

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 7:28 PM