Norzamira Che Noh


SEBANYAK 19 premis makanan di Kuala Langat dan Hulu Selangor diarah tutup selepas didapati gagal mengamalkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) selain kotor.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, premis itu diarah tutup bermula Khamis lalu dengan 11 premis ditutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983, manakala lapan lagi mengikut Seksyen 18 (1)(f) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Sebanyak 144 restoran dan kedai makan diperiksa sepanjang operasi berkenaan.

"Semua premis yang diarah tutup di bawah Akta Makanan diberi 14 hari untuk kerja pembersihan, manakala premis yang tidak mematuhi SOP PKPP pula ditutup seminggu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Sha'ari berkata, sebanyak sembilan notis kesalahan membabitkan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 juga dikeluarkan kepada pelanggan kerana merokok di premis makanan dengan nilai kompaun RM2,250.

Selain itu katanya, 162 notis kesalahan dikeluarkan mengikut Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 ke atas pemilik premis dan pekerja membabitkan kompaun RM91,500.

Operasi bersepadu itu diselaraskan Unit Inspektorat dan Perundangan JKNS dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat, PKD Hulu Selangor serta anggota polis.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 10:07 AM