Lipas ditemui di restoran yang diarah ditutup selama dua minggu di Bandar Mahkota Cheras, hari ini. FOTO Muhd Zaaba Zakeria.
Lipas ditemui di restoran yang diarah ditutup selama dua minggu di Bandar Mahkota Cheras, hari ini. FOTO Muhd Zaaba Zakeria.
Hidayatul Akmal Ahmad


MENJIJIKKAN apabila najis tikus serta bangkai lipas dijumpai di sekitar dapur restoran di Bandar Mahkota Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.

Lebih meloyakan apabila bekas simpanan ais didapati berkeladak dan dibiarkan terdedah seolah-olah pekerjanya tidak menghiraukan aspek kebersihan.

Kejadian itu ditemui ketika pemeriksaan dalam Ops Premis Makanan Bersih anjuran Unit Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

Pegawai Kesihatan Daerah Hulu Langat, Dr Zailiza Suli berkata, sembilan premis makanan diarahkan tutup selepas mengabaikan aspek kebersihan digariskan dalam ops berkenaan.

“Kami arahkan premis makanan ini ditutup selama dua minggu untuk tujuan pembersihan dan pengusaha perlu menghubungi kami untuk membuat pemeriksaan selepas dibersihkan.

“Sekiranya tahap kebersihan memuaskan, premis boleh kembali beroperasi semula,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pemeriksaan mengejut di premis makanan dikenal pasti gagal mematuhi syarat kebersihan ditetapkan.

Menerusi ops itu, sebanyak 96 premis makanan diperiksa membabitkan 85 anggota terdiri daripada pegawai dan penolong pegawai Kesihatan Persekitaran Jabatan Kesihatan Negeri Selangor yang mensasarkan 150 premis makanan.

Beliau berkata, pihaknya turut mengingatkan pengusaha premis makanan diberikan lesen untuk mengendalikan restoran agar memastikan kebersihan premis mereka di tahap sepatutnya.

“Sebanyak 98 notis kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dengan nilai tawaran kompaun berjumlah RM61,350 dikeluarkan.

“Operasi ini dijalankan secara berkala dan berterusan. Jadi kami ingatkan kepada semua pengusaha premis makanan agar memastikan tahap kebersihan premis mereka di tahap terbaik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 8:45 PM