WAJAH lelaki yang mencuri telefon bimbit di premis menjul telefon di Bandar Chukai yang dirakam Kamera Litar Tertutup.  FOTO Rosli Ilham
WAJAH lelaki yang mencuri telefon bimbit di premis menjul telefon di Bandar Chukai yang dirakam Kamera Litar Tertutup. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


LELAKI diburu polis selepas melarikan telefon bimbit di kedai menjual alat telekomunikasi di Chukai, Rabu lalu.

Berikutan itu, polis meminta orang ramai supaya menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya suspek terbabit.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, perbuatan supek mencuri telefon itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di premis terbabit.

Beliau berkata, suspek masuk ke kedai terbabit 7.15 petang dan berpura-pura untuk membeli telefon bimbit jenis Samsung berharga RM469 di premis terbabit.

“Pekerja wanita itu kemudiannya mengambil telefon di dalam almari pameran yang diminta suspek untuk melihatnya.

“Suspek yang dianggarkan berusia 30-an itu kemudian berpura-pura melihat telefon berkenaan sebelum bertindak melarikan diri bersama telefon bimbit itu,” katanya.

Mohd Said berkata, susulan kejadian pemilik kedai terbabit membuat laporan di Balai Polis Chukai 4 petang keesokan harinya untuk tindakan lanjut.

“Polis giat memburu suspek dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta segera menghubungi polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Disember 2018 @ 11:51 AM