Rosli Ilham


TINDAKAN seorang lelaki dipercayai penagih dadah cuba melarikan diri daripada sekatan polis gagal selepas kereta dipandunya terbabas dan terbalik di Kampung Lubuk Lesong, Chukai, semalam.

Rahsia suspek berusia 54 tahun itu melarikan diri terbongkar selepas polis menemui dua botol mengandungi dadah jenis heroin, 63 biji pil kuda serta dua peket dadah jenis syabu.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, sebelum itu suspek yang memandu kereta Audi dilihat dalam keadaan mencurigakan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Plaza Tol Jabor jam 3 petang.

Beliau berkata, ketika anggota polis menghampiri suspek untuk pemeriksaan, lelaki itu memecut kenderaannya menuju keluar ke Jalan Jerangau-Jabor.

Anggota peronda mengejar suspek selama 30 minit dan suspek cuba melanggar kenderaan peronda lebuh raya sebelum kereta dipandunya terbalik.

MOHD Said menunjukkan kereta Audi yang terbabas. Foto Rosli Ilham
MOHD Said menunjukkan kereta Audi yang terbabas. Foto Rosli Ilham

“Hasil siasatan polis mendapati kenderaan dipandu suspek adalah kenderaan klon yang menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, hari ini.

Mohd Said berkata, semakan mendapati suspek mempunyai 25 rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Beliau berkata, suspek yang cedera dihantar ke Hospital Kemaman dan dirawat sebagai pesakit luar.

Hasil ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan polis berjaya mendapatkan perintah reman tujuh hari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam, Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 108(3) (F) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menggunakan kereta klon," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 9:31 PM