Fosil vertebrata prasejarah di dinding gua batu kapur yang ditemui pada tahun 1992 dalam Gua Naga Mas di Gunung Pua dekat Simpang Pulai. FOTO Razif Rosli
Fosil vertebrata prasejarah di dinding gua batu kapur yang ditemui pada tahun 1992 dalam Gua Naga Mas di Gunung Pua dekat Simpang Pulai. FOTO Razif Rosli
Razif Rosli


GUA Naga Mas yang mempunyai fosil vertebrata prasejarah pada dinding gua batu kapur akan ditutup sementara bagi memberi laluan kajian dan penyelidikan menyeluruh dilakukan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan fosil dalam gua yang ditemui pengkaji pada tahun 1992 itu tidak rosak atau berlaku kecurian bagi melindungi fosil itu.

“Kita akan tutup sementara gua ini sekurang-kurangnya tiga bulan bermula esok dan notis akan dikeluarkan bagi kerja penyelidikan dilakukan.

“Kerajaan negeri mahu tahu adakah rangka fosil yang ditemui itu adalah haiwan jenis apa kerana belum ada keputusan rasmi mengenainya.

“Sebelum ini memang ada kajian cuma belum dapat kepastian mengenai fosil itu,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke gua berkenaan di Ipoh hari ini.

Fosil vertebrata di Gua Naga Mas terletak di bahagian siling, tujuh meter dari lantai gua dan rangka fosil berukuran 98 sentimeter itu dianggarkan berusia antara 2.5 juta tahun dahulu hingga 10,000 tahun dahulu atau Pleistosen.

Fosil itu ditemui pada 1992 oleh ahli Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan telah menarik banyak pengkaji mengemukakan pandangan bahawa fosil purba itu adalah seekor harimau kumbang.

Tan berkata, satu jawatankuasa teknikal telah dibentuk di bawah Majlis Penasihat Geopark untuk menjalankan kajian daripada pasukan penyelidikan dari Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Malaysia (USM)serta termasuk agensi kerajaan bagi menjalankan kajian terperinci mengenai fosil itu.

“Tapak fosil ini telah dikaji sejak 20 tahun yang lalu dan pakar pengkaji percaya bahawa haiwan itu adalah vertebrata dan mamalia yang berusia antara 2.5 juta hingga 11,000 tahun yang lalu, tetapi belum ada keputusan rasmi mengenainya.

“Sebab itu kali ini pasukan penyelidikan akan menggunakan kaedah moden seperti pengimbasan 3D dan 2D supaya mereka mampu mendapatkan maklumat terperinci tentang fosil itu,” katanya.

Kar Hing berkata, kerajaan negeri memandang serius akan fosil di Gua Naga Mas dan amat penting bagi memeliharanya memandangkan fosil itu adalah salah satu kerangka mamalia paling lengkap pada zamannya di Asia Tenggara.

“Jadi gua ini akan ditutup tetapi tidak membabitkan penutupan kuil berdekatan yang terletak bersebelahan Gua Naga Mas malah kita akan minta pihak kuil untuk pastikan tiada pihak yang naik ke atas sepanjang tempoh penutupan.

“Bagi jangka masa panjang, kita akan buat keputusan kelak selepas kajian dan penyelidikan pasukan teknikal ini selesai. Ia termasuk masa depan kawasan itu yang mempunyai nilai tambah kepada negeri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 4:51 PM