Iskandar Shah Mohamed

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam, hari ini memperbetulkan perintah oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya berkaitan penggalian semula kubur Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman memutuskan demikian mengikut budi bicara beliau mengikut Seksyen 325 Kanun Prosedur Jenayah.

Beliau dalam penghakimannya berkata, peruntukkan mengikut Seksyen 339 (3) kanun sama dalam keputusan awal di mahkamah sebelum ini, dianggap tidak sepatutnya digunakan kerana ia berkaitan permohonan inkues.

“Sesuatu permohonan inkues tidak boleh dijalankan selagi hasil dan laporan lengkap siasatan tidak diserahkan kepada Majistret.

“Berikutan itu, saya memperbetulkan perintah itu kepada Seksyen 329 (3) kanun sama yang memperuntukkan kuasa penuh kepada polis bagi menjalankan siasatan terutama mengenal pasti punca sebenar kematian (Nazrin),” katanya.

Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik dan LS Leonard yang mewakili isteri Allahyarham, Samirah Muzaffar, 43, mengemukakan permohonan semakan semula keputusan penggalian semula kubur oleh Majistret Nor Ariffin Hisham, Isnin lalu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Jamil Aripin dalam hujahannnya memaklumkan bahawa permohonan itu disifatkan sebagai ‘pramatang’ kerana membangkitkan soal inkues sedangkan ia masih dalam peringkat siasatan polis.

Dalam prosiding sama, Ab Karim turut menetapkan syarat yang dipersetujui oleh pihak pendakwaan dan pemohon ketika proses penggalian kubur, pengebumian semula dan bedah siasat kedua Allahyarham Nazrin.

“Seorang wakil pemohon (Samirah) dan agamawan dibenarkan hadir ketika proses menggali dan pengebumian semula jenazah (Nazrin).

“Pakar patologi bebas juga boleh hadir ketika bedah siasat jika mendapat kelulusan daripada patologi yang dilantik bagi proses bedah siasat kedua itu.

“Selain itu, pemohon dibenarkan hadir ketika proses bedah siasat berkenaan,” katanya.

Pada 3 Ogos lalu, polis memaklumkan kematian Nazrin diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 6:52 PM