VAN jenazah tiba di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara. FOTO Syarafiq Abd Samad
VAN jenazah tiba di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara. FOTO Syarafiq Abd Samad
Fazrik Kamarudin

SELEPAS digali semula bagi membolehkan proses bedah siasat kedua dijalankan lapan hari lalu, jenazah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Nazrin Hassan dikebumikan untuk kali kedua di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9, Kota Damansara, hari ini.

Jenazah yang dibawa dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan van jenazah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan diiringi dua anggota polis bermotosikal tiba pada 11.35 pagi.

Turut kelihatan Proton Preve yang dinaiki oleh pegawai penyiasat kes sementara ahli keluarga terdekat Nazrin tiba 10 minit kemudian.

Pengebumian semula selesai kira-kira satu jam kemudian, pada 12.30 tengah hari.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan sebagai berkata, jasad Nazrin akan dikebumikan pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, pengebumian semula ditangguhkan selepas ahli patologi meminta sedikit masa untuk melengkapkan proses bedah siasat.

Pada 8 Oktober lalu, jenazah Allahyarham Nazrin dibawa keluar dari tanah perkuburan berkenaan untuk bedah siasat kali kedua di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Sebelum ini, Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 1 Oktober membenarkan permohonan polis untuk menggali semula kubur Allahyarham Nazrin bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan untuk membantu siasatan polis berhubung kes bunuh mangsa.

Pada 3 Ogos lalu, kematian Nazrin diklasifikasi sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran.

Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, Petaling Jaya, pada 14 Jun lalu yang pada mulanya dilaporkan sebagai berpunca akibat letupan telefon bimbitnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Oktober 2018 @ 1:09 PM