Fazrik Kamarudin


PENGEBUMIAN semula jenazah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd Nazrin Hassan dijangka dilakukan, 11 pagi, hari ini di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9, Kota Damansara.

Perkara itu disahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat, malam tadi.

Tinjauan NSTP di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9, Kota Damansara, Kuala Lumpur, pagi ini mendapati kawasan itu dikawal ketat 10 pegawai dan anggota polis, situasi yang sama ketika proses penggalian semula dijalankan.

Wartawan dan jurugambar dilarang masuk sementara orang awam ingin menziarah tanah perkuburan diperiksa dengan teliti.

SUASANA di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 dimana jenazah Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan yang akan dikebumikan semula. FOTO Syarafiq Abd Samad
SUASANA di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 dimana jenazah Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan yang akan dikebumikan semula. FOTO Syarafiq Abd Samad

Difahamkan, proses itu akan membabitkan pihak yang sama ketika jasad digali semula, Isnin lalu iaitu pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Mufti Negeri Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Selain itu, pegawai Institut Perubatan Forensik Negara, doktor dan pegawai perubatan PPUM serta peguam pemerhati selain ahli keluarga Allahyarham Nazrin dijangka turut hadir.

Pada 8 Oktober lalu, jenazah Allahyarham Nazrin dibawa keluar dari tanah perkuburan berkenaan untuk bedah siasat kali kedua di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Sebelum ini, Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 1 Oktober membenarkan permohonan polis untuk menggali semula kubur Allahyarham Nazrin bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan untuk membantu siasatan polis berhubung kes bunuh mangsa.

Pada 3 Ogos lalu, kematian Nazrin diklasifikasi sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran.

Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, Petaling Jaya, pada 14 Jun lalu yang pada mulanya dilaporkan sebagai berpunca akibat letupan telefon bimbitnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Oktober 2018 @ 10:03 AM