ANGGOTA Bomba mengeluarkan anak kucing yang tersangkut pada alat ganti kereta. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA Bomba mengeluarkan anak kucing yang tersangkut pada alat ganti kereta. FOTO ihsan Bomba
Raja Noraina Raja Rahim


HAIRAN mendengar suara anak kucing selama lebih lima jam membuatkan penghuni rumah di Taman Permai, Seremban melakukan pemeriksaan sebelum menemui anak kucing itu tersangkut pada alat ganti kereta, hari ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Md Munawir Md Yusoff berkata, lelaki berusia 35 tahun terbabit menghubungi bomba untuk bantuan selepas usahanya mengeluarkan anak kucing itu gagal.

Menurutnya, enam anggota ke lokasi sejurus menerima panggilan pada 3.10 petang.

"Kita (bomba) mendapati leher anak kucing itu tersangkut dalam lubang pada alat ganti kereta.

"Anggota terpaksa menggunakan alat khas untuk mengeluarkan anak kucing itu. Kerja penyelamatan dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan kecederaan pada haiwan berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Md Munawir berkata, bomba mengambil masa kira-kira tiga minit sebelum berjaya melepaskan anak kucing itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 7:45 PM