ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit.
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Seorang remaja perempuan menanggung kesakitan 10 minit apabila tangan kiri tersepit di pintu pagar automatik rumahnya di Taman Bukit Kepayang di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4.50 petang itu, mangsa berusia 19 tahun dikatakan memasukkan tangan kiri dari sisi pagar untuk menekan suis di tembok pagar di bahagian luar rumah.

Malangnya, mangsa tidak sempat mengeluarkan tangannya menyebabkan ia tersepit pada pintu pagar yang terbuka dengan cepat sebaik suis ditekan.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Faizal Abd Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.51 petang dan sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota ke lokasi kejadian.

“Kami (bomba) mengambil masa dua minit mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit dengan menggunakan alat bantuan untuk merenggangkan pintu pagar berkenaan.

“Kami cepat bertindak berikutan tangan mangsa kebiruan dan mangsa menahan kesakitan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, mangsa dihantar bapanya ke hospital untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 9:08 AM