PASUKAN mencari dan menyelamat berjaya menemui jenazah Warga Thailand, Supar Jahteh, 18, yang lemas di kawasan air terjun Lubuk Kain, Kampung Syukur, hari ini. FOTO Rosli Ilham
PASUKAN mencari dan menyelamat berjaya menemui jenazah Warga Thailand, Supar Jahteh, 18, yang lemas di kawasan air terjun Lubuk Kain, Kampung Syukur, hari ini. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


“SAYA dah beri amaran supaya mereka tak naik ke tingkat atas kawasan air terjun itu, tak sangka mereka pergi juga“, kata Mujahidda Abdullah, majikan Supar Jehteh, 18, yang ditemui lemas di kawasan air terjun Lubuk Kain, Kampung Syukur, Dungun, hari ini.

Mujahidda, 28, berkata, dia memberi amaran itu kepada 12 pekerjanya yang dibawa ke air terjun berkenaan untuk berkelah dan beriadah, sebagai sebahagian aktiviti bulanan mereka.

Pengusaha kedai makan di Paka itu terkilan perkelahan kali ini meragut nyawa seorang pekerjanya.

“Setiap bulan saya akan membawa 12 pekerja bercuti atau berkelah dan kali ini mereka minta berkelah di kawasan air terjun itu.

“Kami sampai pada 11 pagi semalam dan berkelah di situ sebelum mereka minta izin untuk mandi. Saya minta mereka mandi di bawah saja dan tidak benarkan mereka mandi di kawasan atas.

“Amaran itu kerana saya tahu bulan lalu dua pemuda lemas di air terjun ini dan saya tidak mahu perkara sama berulang. Tak sangka ia terjadi juga,” katanya ketika ditemui.

Supar, berasal dari Pattani, Thailand ditemui pasukan mencari dan menyelamat 10.10 pagi pada jarak 300 meter dari tempat dia dilaporkan hilang.

Mujahidda berkata, dia terkejut apabila tiga pekerjanya bersama mangsa naik ke tingkat atas air terjun itu dan mandi sambil terjun dari atas batu, sebelum dimaklumkan mengenai kehilangan Supar.

“Saya sedih Supar ditemui lemas, namun bersyukur mayatnya akhirnya ditemui dan berterima kasih kepada pasukan mencari dan menyelamat termasuk penduduk kampung yang membantu.

“Sebaik mayat mangsa selesai dibedah siasat, saya akan bawa jenazahnya pulang untuk dikebumikan di kampung asalnya,” katanya.

Berita berkaitan

'Hilang' ketika mahu makan tengah hari

Pemuda hilang ditemui lemas

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 5:00 PM