Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Cameron Highlands: Insiden kegagalan cerun yang mengakibatkan tanah runtuh di Seksyen 43.9 Laluan Persekutuan Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, semalam disifatkan berlaku 'terlalu awal' memandangkan kawasan berkenaan berada pada tahap masih dalam perancangan penambahbaikan susulan insiden serupa di kawasan berdekatan.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Zulkipli Nasri berkata, kira-kira RM130 juta diperuntukkan oleh kerajaan Persekutuan bagi projek pengukuhan dan pembaikan cerun di kawasan itu susulan insiden serupa yang kerap berlaku sekitar kawasan terbabit membabitkan jarak kira-kira 600 meter.

Katanya, JKR masih dalam peringkat merekabentuk selain mengadakan perbincangan terperinci dan rundingan bersama kontraktor yang sudah dipersetujui.

"Kita jangkakan, sijil setuju terima (SST) akan diberikan kepada kontraktor terbabit pada pertengahan Disember ini dan pembinaannya dijangka mengambil tempoh tiga tahun iaitu sehingga Disember 2024 bagi memperkukuhkan kawasan ini.

"Kita memang ada perancangan untuk menambah baik (kawasan) cerun ini tetapi dalam masa sama insiden ini berlaku terlalu awal berpunca daripada beberapa elemen termasuk hujan yang seterusnya menjadi pemangkin kepada kegagalan cerun berlaku lebih cepat berbanding perancangan kita," katanya.

Zulkipli Nasri (dua dari kiri) memberikan taklimat kepada Saarani Mohamad (tengah) ketika meninjau lokasi insiden kegagalan cerun yang mengakibatkan tanah runtuh di Seksyen 43.9 Laluan Persekutuan FT185 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Zulkipli Nasri (dua dari kiri) memberikan taklimat kepada Saarani Mohamad (tengah) ketika meninjau lokasi insiden kegagalan cerun yang mengakibatkan tanah runtuh di Seksyen 43.9 Laluan Persekutuan FT185 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI

Beliau berkata demikian dalam sidang media sewaktu mengiringi Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad meninjau tempat kejadian, hari ini.

Sebelum ini, kejadian sama di lokasi berdekatan dilaporkan pernah berlaku termasuk pada penghujung 2014 .

Kata Zulkipli, tindakan awal diambil dengan menutup jalan terbabit sehingga keadaan di kenalpasti selamat untuk jalan itu digunakan semula selain 'reallignment' atau mengalih kedudukan jalan kepada laluan alternatif yang terdapat berdekatan lokasi insiden.

"Itu antara tindakan awal yang diambil bagi mengurangkan risiko susulan insiden ini, di samping pembukaan laluan alternatif yang sedikit ke dalam daripada kawasan cerun itu nanti hanya dikhususkan untuk dilalui oleh kenderaan ringan.

"Siasatan lanjut akan dibuat terlebih dahuku termasuk berbincang dengan pakar cerun JKR pusat dari segi bagaimana kaedah yang akan diguna pakai bagi membolehkan laluan alternatif itu digunakan kelak.

"Ia bagi mengambil kira keperluan pengguna jalan ini khususnya membolehkan aktiviti ekonomi di Cameron Highlands," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 1:12 PM