KEADAAN cili bertaburan dalam kereta mangsa yang cuba disamun suspek (gambar kecil) di sebuah pusat beli-belah di Cheras, Jumaat lalu.
KEADAAN cili bertaburan dalam kereta mangsa yang cuba disamun suspek (gambar kecil) di sebuah pusat beli-belah di Cheras, Jumaat lalu.
Teoh Pei Ying


SEORANG wanita warga Indonesia ditahan selepas cuba merompak seorang pelanggan pusat beli-belah di Taman Maluri, Cheras dengan ‘menyimbah’ air cili pada mangsa dalam kejadian, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, kejadian berlaku jam 7 malam di tempat letak kenderaan pusat beli-belah itu ketika mangsa baru memasuki kereta bersama anak saudaranya.

Katanya, sebaik berada dalam kereta, seorang wanita tiba-tiba datang meluru ke arahnya dan menyimbah air cili sambil cuba menarik beg tangan yang dipegangnya.

“Bagaimanapun, kejadian itu turut dilihat seorang anggota polis bantuan pusat beli-belah berkenaan yang kemudian bertindak menahan suspek.

“Akibat kejadian itu, wanita berusia 44 tahun berkenaan ‘cedera’ pada muka dan badan akibat terkena air cili berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata, suspek diserahkan kepada polis, manakala mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk rawatan.

Katanya, suspek direman selama 14 hari untuk siasatan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan selain disiasat di bawah Akta Imigresen 1963.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 7:46 PM