GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


WANITA maut selepas terjun dari tingkat satu di pusat beli-belah Sunway Pyramid, Petaling Jaya, hari ini.

Dalam kejadian 11.20 pagi itu, mangsa berusia 30-an dikatakan terjun dari tingkat satu pusat beli-belah berkenaan dan terjatuh berhampiran eskalator di tingkat bawah tanah 2 (LG2) bangunan berkenaan.

Seorang saksi kejadian yang tidak mahu dikenali berkata, ketika kejadian, dia berada di tandas berhampiran lokasi wanita itu terjatuh.

“Sebaik keluar dari tandas, saya nampak ramai orang berkumpul di eskalator berkenaan. Saya nampak seorang wanita terbaring berhampiran eskalator itu dengan berlumuran darah.

“Malah, ada seorang wanita dipercayai rakannya dilihat meraung di sisi mangsa. Saya difahamkan wanita itu terjun dari tingkat satu sebelum terjatuh di tingkat ini,” katanya ketika ditemui di pusat beli-belah berkenaan, hari ini.

Sementara itu, pusat beli-belah Sunway Pyramid dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan wanita terbabit dilihat memanjat pagar sebelum terjun dari tingkat satu.

“Wanita itu dilaporkan mengalami kecederaan serius dan dihantar ke Pusat Perubatan Sunway sebelum disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 3:20 PM